Sekarang Dah Musim Kahwin…Ini Cara Urus Kewangan Selepas Majlis Perkahwinan Bagi Pengantin Baru…

Sharing is caring!

Kini, hidup baru bermula dengan adanya pasangan di sisi. Semua perlu dibincang dan diberi perhatian termasuk perihal kewangan rumah tangga. Ketahui 9 cara menguruskan wang bagi si pengantin baru melalui kehidupan perkahwinan yang teratur.

 

1. Mula berbincang mengenai kewangan

Seharusnya, perkara ini perlu diutarakan sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Ketahui struktur kewangan dan hutang yang dibebani masing-masing. Kalian juga perlu tahu berapa wang yang ada dalam simpanan agar anda tahu realiti sebenar apa yang anda berdua ada.

 

2. Catatkan matlamat

Penting untuk anda mempunyai hala tuju dalam isu kewangan rumah tangga. Seperti apa yang anda ingin lakukan dengan wang KWSP setelah akaunnya capai usia matang? Dan berapa banyak simpanan yang ingin dilakukan bagi akaun anak yang bakal lahir serta berapa jumlah yang kalian berdua akan sumbang ke dalam akaun itu?

 

3. Pertimbangkan akaun bersama

Ada kelebihan dan kekurangan untuk mempunyai akaun bersama. Selain boleh mengukuhkan rasa percaya kepada diri masing-masing, ia boleh mengelakkan penggunaan wang tanpa pengetahuan pasangan. Ia juga memudahkan perbelanjaan harian untuk isi rumah dan anak berlangsung secara lancar.

 

4. Buat akaun kecemasan

Ini adalah keperluan utama dalam menguruskan kewangan rumah tangga. Penting bagi menghadapi detik sukar yang tidak dijangka seperti kehilangan punca rezeki, bencana alam, masalah kesihatan keluarga dan sebagainya. Selain membantu anda dan pasangan dari segi kewangan, ia mengurangkan stres dan melindungi hubungan agar tidak berantakan.

 

5. Reka bajet

Semua perkara yang dilakukan dalam hidup perlu ada had, begitu juga dengan bajet anda sekeluarga. Tentukan berapa jumlah yang boleh dibelanjakan untuk perbelanjaan harian isi rumah, jumlah wang yang ada untuk pergi bercuti, keperluan wang untuk membeli pakaian dan sebagainya. Ini bagi mengelakkan pembaziran dan penggunaan wang secara berlebihan.

 

6. Elak hutang

Jangan mulakan tabiat berhutang kerana ia akan ‘menghantui’ anda sepanjang hidup, kecuali untuk pelaburan jangka masa panjang seperti pembelian rumah. Buang sikap menunjuk-nunjuk dengan membeli perabot mahal, walhal anda tidak mampu untuk membayarnya.

 

7. Tegur menegur

Jika anda rasakan si dia terlebih berbelanja, jangan diamkan saja. Tegur secara baik kerana jika dibiarkan, ia akan jadi ‘duri’ dalam perhubungan. Perkahwinan yang dibina bukan untuk sehari dua, malah jika jodoh berpanjangan ia kekal sehingga ke usia tua. Justeru, elak tegur secara kasar. Kemukakan bukti serta keburukan dan akibat jika si dia berterusan jadi boros.

 

8. Kerja berkumpulan

Rumah tangga semestinya adalah perhubungan yang berlandaskan dua hala. Kerana itu, penting untuk anda dan dia bekerjasama dalam menjayakan perihal kewangan. Saling belajar, tegur menegur dan menerima kekhilafan serta kehebatan diri masing-masing. Tiada guna jika hanya sebelah pihak bertungkus lumus menjaga sumber kewangan dan sebelah pihak lagi sibuk membazir.

9. Ketahui paras risiko

Seperti yang diketahui, pembelian rumah adalah pelaburan yang paling mahal dalam hidup. Justeru, kalian berdua harus mempertimbangkan berapa yang mampu untuk membayar ansuran bulanan. Ukur baju di badan sendiri. Jangan sesekali melabur terhadap sesuatu yang anda tidak mampu. Perbincangan secara mendalam perlu dilakukan bagi mengetahui apa akibat jangka masa panjang.

Sumber : eh.com.my

———————————————————————————————————————————————–

LAGI KISAH MENARIK DAN VIRAL MENGENAI KEWANGAN KELUARGA…

Belum Miliki Rumah? Jangan Risau! Tahun 2018 Kemungkinan Pasaran Hartanah Merosot Dan Harga Rumah Menjadi Murah…Ini Puncanya…
Tidak mudah bagi seseorang dengan kemampuan yang terhad untuk membeli rumah di Malaysia pada hari ini kerana harga rumah yang terlalu tinggi dan mahal. Tetapi pakar hartanah meramalkan semua ini akan berubah pada tahun hadapan.

Menurut FMT, seorang jururunding dan jurukur hartanah bertauliah selama 40 tahun bernama Ernest Cheong telah mendedahkan bahawa pasaran hartanah akan merosot pada tahun hadapan dengan para pemaju dan pemilik rumah menghadapi masa yang sukar untuk mencari pembeli.

Dan inilah hakikatnya yang perlu diterima pada tahun 2018. Terdapat lima sebab yang diberikan oleh Ernest Cheong :

1. Para pembeli tidak lagi mampu membeli rumah

Ini kerana ramai pembeli tidak lagi mampu membeli rumah yang lain, yang akan menyebabkan merosotnya pasaran hartanah dengan semakin ramai pembeli tidak lagi mampu membayar ansuran bulanan rumah.

Ernest Cheong berkata kemorosotan pasaran hartanah ini akan berlaku seawal bulan Februari 2018 dan akan menambah suasana panik di antara pemaju dan pemilik rumah, bermula pada Tahun Baru Cina pada bulan Februari atau sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk memberi peruntukan bagi menguatkan nilai pasaran hartanah.

2.Terdapat terlalu banyak unit hartanah yang tidak terjual di pasaran

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Lee Chee Leong, berbanding pada tahun 2016, terdapat peningkatan sebanyak 40 peratus unit rumah kediaman yang tidak terjual dengan jumlah 20, 807 unit pada suku pertama tahun 2017. Beliau berkata demikian dalam pembentangan Pasaran Harta Tanah 2017 baru-baru ini. Kesemua unit ini bernilai tinggi sebanyak RM12.26 Bilion dengan majoriti rumah berharga RM500,000 dan ke atas.

Kesemua unit ini hanya dinyatakan dari pasaran hartanah utama dari para pemaju dan tidak menyertakan jumlah dari pasaran hartanah kedua di mana yang dijual oleh pemilik rumah. Dengan jumlah pembeli rumah yang semakin berkurangan, Cheong berkata, para pemaju telah mengambil tindakan dengan cara yang agak terdesak.

3. Para pemaju akan kehilangan pembiayaan untuk memulakan projek baru jika tidak banyak rumah yang boleh dijual

Menurut Cheong, “Sebelum ini, pembeli rumah perlu membayar deposit sebanyak 10 peratus untuk memulakan proses memiliki rumah. Tetapi kini keadaan jauh berbeza. Para pemaju berada dalam situasi tertekan dan terdesak. Oleh itu, mereka telah memberi laluan kepada pembeli membayar hanya satu peratus ke atas nilai harga hartanah tersebut dan membayar selebihnya selepas hartanah atau rumah telah disiapkan.

Cheong berkata para pemaju terpaksa membuat ‘cara pembayaran pemurah’ ini disebabkan mereka mengalami kesukaran untuk menjual hartanah yang baru. Untuk pengetahuan anda, sekiranya para pemaju menjual kurang 40 peratus dari keseluruhan jumlah unit hartanah yang sepatutnya dijual, mereka akan kehilangan kelangsungan pembiayaan dari pihak bank.

Cheong menambah, “Pada tahap inilah bahaya dan risiko akan muncul. Saya meramalkan, sekiranya perkara ini berterusan, pasaran hartanah akan merosot dan menjunam selama 24 hingga 30 bulan kerana para pelanggan tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membeli harta dan rumah. Tambahan para pemaju mula menjalankan projek pembinaan rumah dua tahun yang lalu dengan jangkaan untuk memenuhi permintaan pasaran.” Nampaknya jumlah pasaran telah melebihi permintaan.

4. Harga hartanah dijangka akan menurun dari RM500,000 kepada RM300,000

Cheong menganggarkan jumlah unit dari pasaran hartanah kedua adalah RM4 Bilion dan ini menambah jumlah keseluruhan nilai hartanah berjumlah RM16 Bilion di pasaran. Menurut Cheong, “Jadi, terdapat nilai hartanah dengan jumlah RM16 Bilion sedang menanti pembelinya. Tetapi, malangnya tiada permintaan yang mengalakkan. Masalah utama kini ialah semua orang tidak mempunyai wang.”

Menurut Cheong lagi, beliau mempercayai yang nilai hartanah akan merosot pada awal tahun hadapan dan menurut anggarannya harga rumah akan jatuh dengan mendadak dari harga pasaran kini iaitu RM500,000 kepada RM300,000 pada tahun hadapan. Dan jumlah perbezaan kerugian atau keuntungan yang sangat banyak !

5. Jika anda tidak mampu membeli rumah, sewa dahulu

Cheong memberi nasihat kepada warga Malaysia yang mahu membeli rumah supaya melupakan hasrat tersebut terlebih dahulu sehingga mereka dapat mengumpul RM1,000 sebulan selama setahun di dalam tabung kecemasan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan sebanyak 89 peratus warga Malaysia menjana pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan. Jadi Cheong telah menggesa warga Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dalam membelanjakan wang pendapatan mereka.

Sebaliknya, Cheong memberi nasihat kepada semua untuk melabur dalam bentuk yang lain selain hartanah. Katanya, ” Adalah tidak penting untuk membeli hartanah buat masa ini. Cuba untuk menyewa rumah dahulu jika anda masih merasa tidak mampu.”

Apa pendapat anda tentang perkara ini?

Sumber : Era Baru

 

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *