Kisah Langsuir Di Durian Tunggal Dan Kampung Jerteh Yang Mendapat Liputan Akhbar Dan Menggemparkan Netizen…

Sharing is caring!

ALOR GAJAH – Penduduk sekitar Durian Tunggal, di sini, kesal dengan perbuatan netizen menyebarkan visual kononnya terdapat langsuir bertenggek atas tiang elektrik di tepi Jalan Simpang Gading ke Kesang Pajak, berhampiran pusat pelancongan The Touch City, di sini.

Menurut mereka, rakaman video yang menjadi tular itu sengaja direka-reka pengguna jalan raya dengan tujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai atau mungkin sekadar bergurau.

Bagaimanapun, perbuatan itu boleh mengakibatkan penduduk ketakutan selain mencemarkan nama baik kampung sekitar.

Seorang penduduk, S. Murugan, 34, berkata, dia mengetahui tentang visual berkenaan menerusi Facebook, bagaimanapun dia langsung tidak percaya ada langsuir di kampung kelahirannya itu.

“Semua ini tidak betul. Gambar yang tersiar dalam Facebook mungkin telah disunting oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk gurauan. Mungkin juga mereka sengaja hendak menakut-nakutkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berdekatan kerana jalan itu sering menjadi laluan mereka untuk ke pekan Durian Tunggal.

“Saya sejak dari kecil tinggal di sini, malah rumah saya pun terletak di sebelah kubur Cina, tidak pernah sekalipun nampak langsuir,” katanya.

Seorang lagi penduduk, M. Samugam, 77, berkata, ramai penduduk di kawasan tersebut bekerja sebagai penoreh getah dan keluar seawal jam 1 pagi, namun tidak pernah kedengaran kisah mereka menemui hantu atau langsuir sebagaimana yang ditimbulkan pengguna Facebook berkenaan.

“Kebanyakan yang bercakap mengenai hal ini adalah orang luar. Tapi bagi kami penduduk tempatan memang tidak pernah jumpa hantu di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Bagi seorang pengguna jalan raya yang sering berulang-alik di laluan berkenaan, Abdul Rahim Samat, 40, pula mengakui ada mendengar cerita orang ramai mendakwa kononnya pernah ternampak kelibat langsuir di situ.

Bagaimanapun, katanya, dia sendiri tidak pernah berjumpa dengan lembaga yang dimaksudkan itu.

“Mereka ada mendakwa kononnya laluan di sini keras tetapi bagi saya mungkin pada malam hari suasana laluan di sini agak gelap dan menakutkan,” katanya.

Bukti cerita sengaja direka

Kisah mengenai kemunculan langsuir mula heboh apabila seorang pengguna laman sosial Facebook memuat naik visual berdurasi 10 saat yang menunjukkan kelibat seperti lembaga sedang bertenggek atas lampu elektrik.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira seminggu lalu di laluan berkenaan.

Sementara itu, menerusi visual dimuat naik dalam laman Facebook Ghost Hunters Malaysia, semalam menguatkan lagi dakwaan bahawa penemuan langsuir berkenaan memang sengaja direka.

Antara keratan Facebook berkaitan cerita berkenaan.(Gambar kanan:Laman Facebook Ghost Hunters Malaysia membuktikan dakwaan wujud langsuir itu tidak benar.)
Menerusi video berdurasi 10 minit dalam laman Facebook itu, sekumpulan individu cuba mengesan laluan yang dikatakan kelibat langsuir itu dirakam dan mendapati ia hanyalah pelepah kelapa yang tersangkut pada tiang lampu jalan.

Namun begitu, Pengarah Darul Syifa’ negeri Melaka, Faisol Sheikh Mohd ketika dihubungi Sinar Harian semalam berkata, kewujudan makhluk berkenaan memang ada sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Bagaimanapun, jelasnya, sekiranya wujud semua itu adalah permainan dan tipu daya jin dan syaitan bagi memporak perandakan masyarakat.

“Sebenarnya kewujudan makhluk ini yang berupa jin tidak mustahil. Cuma dia tidak tunjukkan rupa asal. Jin tidak boleh dilihat tetapi boleh menjelma pelbagai rupa termasuk sebagaimana yang di dakwa masyarakat.

“Golongan ini wujud bertujuan untuk menyesatkan manusia dan cuba menakut-nakutkan masyarakat. Misalnya terjadinya tular tentang perkara itu sehingga memberi kesan negatif kepada masyarakat,” katanya.

Sumber : sinarharian.com.my
KISAH LANGSUIR GANGGU PENDUDUK KAMPUNG JERTEH, TERENGGANU
Langsuir ganggu penduduk

PASIR PUTEH – Cerita langsuir mengganggu penduduk yang sebelum ini hanya diketahui penduduk di beberapa kampung di sini dan Jerteh, Terengganu akhir-akhir ini menjadi perbualan hangat apabila isu itu tersebar melalui laman sosial.

Cerita itu menarik perhatian penduduk dari luar kawasan yang memasuki kampung terlibat seperti Kampung Gong Tinggi, Gong Pasir, Kampung Tasek, Gong Lapang (Pasir Puteh) dan Kampung Penaga Putar (Jerteh) secara berkumpulan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada penduduk mengakui terserempak dengan lembaga berambut panjang yang berterbangan sambil mengilai dengan suara mengerikan tapi ada sesetengah penduduk menafikannya.

Rujuk mereka yang layak

Pegawai Agama Jajahan, Ahmad Talhah Ab Rahman berkata, beliau tidak jelas mengenai perkara itu kerana hanya mengetahui cerita mengenai langsuir itu melalui Facebook.

“Susah nak cakap sebenarnya. Tak nak percaya tak boleh juga kerana kita kena ingat Islam juga mengajar umatnya mempercayai perkara ghaib seperti wujudnya jin dan syaitan.

“Cuma jangan kita panik dan terlalu takut kerana ia boleh menjejaskan iman. Kena sama-sama jaga akidah dengan sentiasa merujuk kepada pakar atau orang yang layak membicarakannya,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada mendengar cerita mengenai bomoh yang berjaya ‘menangkap hantu’ namun katanya, perlu berhati-hati kerana jin juga mungkin menipu dengan berpura- pura terperangkap.

Ahmad Talhah berkata, sekali pun langsuir didakwa penduduk itu betul, makhluk itu tidak memudaratkan kerana ia mungkin jin yang mahu mengganggu manusia.

Suara mengerikan

Penduduk Kampung Penaga Putar, Tuan Muda Tuan Mat, 48, berkata, dia melihat kelibat lembaga yang berterbangan sambil mengilai panjang ketika pulang ke rumah dengan menunggang motosikal jam 12 tengah malam, minggu lalu.

Katanya, walaupun tidak nampak dengan jelas ketika dia memberhentikan motosikal, suara lembaga itu menyebabkan bulu romanya meremang dan memaksanya bergegas pulang.

Perasaan takut datang lagi ketika saya tersedar dari tidur pada malam itu. Sebelum ini saya ada dengar orang kampung cerita pasal langsuir tetapi saya tidak percaya sehinggalah saya berdepan dengannya.

“Saya pernah beberapa kali terserempak dengan hantu. Suara langsuir menyeramkan tapi saya tak endahkan,’ katanya.

Sudah dipasung

Seorang bomoh dari Kampung Gong Manak, Ramli Yusof, 41, ketika ditemui mendakwa telah menangkap kesemua empat langsuir yang mengganggu penduduk iaitu dua di Gong Pasir, satu di Gong Tinggi dan satu di Gong Lapang.

Katanya, lembaga dengan ketinggian paras pinggangnya itu ditangkap dengan bantuan seorang rakan tidak sampai 10 minit dengan menggunakan ayat al-Quran.

“Saya ‘memasungkannya’ di satu tempat khusus dan akan ‘menghantarnya balik ke tempat asal’ selepas 40 hari ditangkap. Saya tidak tahu dari mana ia datang kerana inilah kali pertama saya menangkap langsuir.

“Sebelum menangkap, saya membaca jampi di rumah dan ketika itu, penduduk memberitahu terdengar langsuir berteriak seperti kesakitan, bukan lagi mengilai,” katanya yang terlibat dengan aktiviti seperti itu sejak empat tahun lalu.

Sumber : sinarharian.com.my

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *